Sunday, August 16, 2009

Jaringan Rooney memadai buat Manchester United


MANCHESTER – Jaringan Wayne Rooney pada minit ke-34 sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada Manchester United 1-0 ke atas Birmingham City di Old Trafford dalam aksi pertama penyandang juara Liga Perdana England untuk musim ini, semalam. United yang memburu kejuaraan keempat berturut-turut musim ini, mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada awal saingan bagi membuktikan kelab tersebut masih lagi berbisa walaupun tanpa Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Peluang yang terhidang dipersiakan begitu sahaja apabila Dimitar Berbatov gagal untuk menjaringkan gol ketika di dalam petak penalti, sementara Rooney mempunyai peluang terbaik menyambar bola lantunan tersebut tetapi pertahanan Birmingham berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Selepas itu penjaga gol Birmingham, Joe Hart membuktikan dia berada dalam prestasi terbaik dan cukup bersedia selepas menyelamatkan sepakan lencong Rooney dari jarak 23 meter apabila melakukan aksi akrobatik dengan menumbuk bola keluar. Aksi Birmingham juga harus dipuji apabila cuba untuk menjaringkan gol dengan pencipta peluang melalui James McFadden dari sebelah sayap kiri. Bagaimanapun dia tidak mampu untuk membuat pilihan terbaik dalam menghantar bola kepada rakannya menyebabkan pertahanan United dapat mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Akhirnya usaha keras Rooney membuahkan hasil apabila menjaringkan gol pada minit ke-34.
Rooney menanduk hantaran lintang Nani sebelum bola terkena palang dan dia berjaya menolak masuk bola lantunan tersebut. Birmingham mampu menjadi kedudukan 2-1 tetapi nasib ternyata tidak menyebelahi mereka di Old Trafford. Peluang pertama melalaui Cameron Jerome yang melakukan rembatan menarik dari jarak 18 meter yang ternyata mampu menewaskan penjaga gol, Ben Foster tetapi ia terkena Paul Scholes seterusnya keluar melepasi tiang gol. Seterusnya melalui sepakan sudut yang menyaksikan Patrice Evra berjaya menanduk keluar bola tandukan Frank Queudrue dari garisan golnya. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan United membuktikan mereka menguasai perlawanan semalam dan sepatutnya menambah gol kedua tetapi percubaan Darren Fletcher tidak menepati sasaran hasil kerja keras Evra di bahagian sayap kanan. Rooney memulakan aksi separuh masa kedua dengan percubaan dari jarak 38 meter tetapi Hart sekali lagi menjadi penghalang apabila mengeluar bola dari kawasan bahaya.Percubaan rendah dari pemain Birmingham Keith Fahey merupakan peluang terbaik untuk pasukan pelawat menyamakan kedudukan tatkala United bergelut memecah tembok pertahanan Birmingham.
United terus memberi tekanan kepada Birmingham bagaimanapun tandukan percubaan Berbatov ketika perlawanan berbaki 20 minit berjaya ditanduk keluar oleh Lee Carsley. Pasukan pelawat mempunyai peluang keemasan pada minit ke-78, namun Christian Benitez tidak mampu menewaskan Foster apabila penjaga gol United itu berjaya menepis bola dengan sebelah tangan. Rooney mempunyai peluang terakhir apabila menerima hantaran lintang Ryan Giggs tetapi tandukannya tersasar, begitu juga dengan pemain gantian Michael Owen yang menyaksikan percubaannya dihalang kemas oleh Hart. “Saya meletakkan Wayne dan Dimitar kerana mereka telah bersama kelab ini pada musim lalu dan antara pemain utama tetapi Michael Owen akan mempunyai peluang, tidak ada masalah mengenai perkara itu.“Masih banyak lagi perlawanan untuk ditempuhi dan dia akan mengambil segala peluang tersebut,” kata pengurus United Sir Alex Ferguson. United kehilangan pemain pertahanan tengah Rio Ferdinand yang mengalami kecederaan di bahagian betis dan mereka dilihat agak goyah di bahagian pertahanan. – AFP

No comments:

Post a Comment