Wednesday, September 23, 2009

Piala Liga: Bintang muda jadi sandaran MU

MANCHESTER - Manchester United akan memberi kepercayaan kepada bintang muda seperti Danny Welbeck dan Federico Macheda apabila memulakan kempen pusingan ketiga bola sepak Piala Liga menentang Wolves, hari ini. Pengurus United, Alex Ferguson biasanya menggunakan kejohanan itu sebagai peluang untuk menguji pemain-pemain muda berbakat yang akan bergandingan dengan pemain senior.Darron Gibson merupakan pemain tetap Piala Liga, dan dia sekali lagi dijangka membarisi skuad Ferguson bersama Michael Carrick yang tidak banyak mendapat tempat dalam pasukan utama musim ini. Perlawanan ini juga dijangka menjadi medan buat pemain senior seperti Gary Neville untuk menguji kecergasan selepas kembali daripada kecederaan pangkal paha manakala Richie De Laet, Jonny Evans serta Fabio bakal menjadi pilihan membantu gerakan serangan.
Baik Welbeck mahu pun Macheda gagal mendapat tempat dalam skuad utama Liga Perdana, biarpun kedua-duanya mempamer prestasi memberangsangkan, musim lalu.Bagaimanapun, jika tidak kedua-duanya diturunkan sekali hari ini, salah seorang hampir pasti beraksi, kemungkinan berganding bersama Michael Owen yang belum cukup meyakinkan dalam pentas liga utama meskipun menjadi penjaring gol kemenangan dramatik United ketika menewaskan Manchester City 4-3, Ahad lalu.Perlawanan hari ini juga dijangka memberi peluang kepada pemain muda Serbia, Zoran Tosic untuk menunjukkan kemampuan untuk bersaing dalam liga England. Walaupun Tosic, 22, sering mendapat pujian Ferguson, namun pemain sayap itu hanya diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan sebagai gantian.Walaupun Ferguson tidak boleh tidur lena jika pasukannya gagal memenangi kejuaraan, namun keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada mencuba pemain baru sebagai perancangan masa depan. Dua tahun lalu, United menerima tamparan apabila tumpas 2-0 kepada Coventry, tetapi barisan pemain muda yang dilahirkannya seperti Phil Bardsley, Lee Martin, Gerard Pique, Chris Eagles serta Danny Simpson semuanya disambar pasukan lain. "Kami memiliki ramai pemain muda ketika merangkul kejuaraan musim lalu, dan saya percaya mereka sudah bertambah baik serta matang seperti Nani, Anderson, Da Silva beradik (Fabio dan Raphael) serta Jonny Evans."Semua orang pasti terkejut jika tiada pemain dari Manchester United terlibat dengan dalam pasaran perpindahan.
"Saya gembira dengan skuad yang saya miliki, dan dengan beberapa tambahan pemain baru, tiada sebab untuk kami berubah sikap. Meskipun kalah mengejut kepada Burnley di awal musim, apa yang kami perlukan sekarang cuma konsistensi,'' ujar Ferguson.Sementara itu penyerang Wolves, Kevin Doyle menegaskan, pasukannya akan berkunjung ke Old Trafford tanpa rasa takut dan gentar.Wolves kini berada di tahap keyakinan tertinggi selepas mengalahkan Fulham 2-1, Ahad lalu dan turut menang di Wigan, musim ini. Doyle tidak nampak sebab mengapa mereka tidak boleh mengejutkan United."Kami kena terus bersaing dan bekerja keras seperti yang dilakukan ketika menentang Fulham. Kalau kami berjaya melakukannya, kami boleh ke mana saja dan mendapat keputusan yang baik."Saya dan semua rakan-rakan sepasukan tidak gentar beraksi di luar gelanggang sendiri. Kami sudahpun menang di tempat lawan musim ini, jadi kenapa kami tidak boleh melakukannya sekali lagi ?,'' kata Doyle.Doyle membuka jaringan Wolves menerusi tandukan ketika menentang Fulham dan dijangka mampu menjadi ancaman United hari ini. - AFP

No comments:

Post a Comment