Saturday, October 17, 2009


Chelsea, Liverpool rebah lagi, United kuasai carta
LONDON: Juara bertahan Manchester United melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris mengatasi Chelsea selepas melakarkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Bolton Wanderers di Old Trafford, semalam. Jaringan sendiri pertahanan Bolton, Zat Knight yang tertampan bola hasil tandukan Michael Owen serta gol pemain sayap, Antonio Valencia pada babak pertama membolehkan anak buah Sir Alex Ferguson mengutip 22 mata berbanding Chelsea 21, selepas The Blues mengalami kekalahan mengejut 2-1 kepada Aston Villa dalam perlawanan awal. Namun United terpaksa mengharungi saat-saat mencemaskan pada separuh masa kedua selepas Matthew Taylor menanduk masuk hantaran lintang Kevin Davies dan menyaksikan pelawat mengasak hebat gawang tuan rumah dalam usaha mencari gol penyamaan, Terdahulu, Villa mencatat kemenangan bergaya menewaskan pendahulu sebelum ini, Chelsea hasil dua tandukan pemain pertahanan, semalam.
Villa yang turun dengan semangat membara selepas kejayaan menumbangkan Liverpool dan seri dengan Manchester City, dikejutkan dengan gol pendahuluan oleh penyerang sensasi Chelsea, Didier Drogba pada minit ke-15. Drogba yang menyambut hantaran Frank Lampard di luar kotak penalti, bijak melepaskan tendangan padu ke penjuru gawang menewaskan penjaga gol Brad Friedel. Bagaimanapun, Richard Dunne mengikat kembali kedudukan pada minit ke-32 apabila menanduk cantik tendangan sudut sebelum James Collins memastikan kemenangan Villa di halaman sendiri, juga menerusi tandukan dari jarak dekat di tengah gawang, menewaskan Petr Cech pada minit ke-52. – Agensi

No comments:

Post a Comment