Friday, October 2, 2009

United bangkit atasi kemaraan Wolfsburg

Manchester United bangkit selepas ketinggalan pada minit ke-56 untuk menundukkan Wolfsburg 2-1 pada saingan Liga Juara-juara Eropah di Old Trafford semalam. Juara Bundesliga itu mendahului hasil jaringan Edin Dzeko tetapi Ryan Giggs mengikat kedudukan 1-1 apabila sepakan percumanya terkena kepala pemain pertahanan Wolfsburg dan menerjah gawang lawan tiga minit kemudian. Pemain tengah veteran itu menjadi pemain kesembilan dalam sejarah Red Devils menyumbat 150 gol untuk kelab berkenaan. Giggs, 35, sebaris legenda United dan pengurus Sir Alex Ferguson memuji pencapaian memberangsangkan pemain kelahiran Wales untuk mengikat kedudukan sebelum Michael Carrick menyumbat gol kemenangan pada minit ke-78. “Dia sukar diramal. Berbekalkan pengalamannya, saya tidak menjangka dia mampu menambah koleksi golnya.
Dia mempamerkan aksi menakjubkan,” kata Ferguson. Begitupun, Ferguson tetap kagum dengan keseluruhan persembahan anak buahnya terutamanya kebangkitan mereka untuk mengatasi Wolfsburg selepas ketinggalan pada minit ke-56. “Golnya amat mengejutkan. Kami memperoleh gol dengan tidak sengaja hasil sepakan percuma Giggs yang terkena kepala pemain pertahanan lawan. Tetapi keseluruhan persembahan membuktikan kami layak menang. “Persembahan itu amat mengagumkan. Walaupun kami memperoleh gol dengan cara sedemikian, kami terus beraksi dan memperoleh hasilnya. Prestasi permainan kami begitu baik,” ujarnya. Giggs sebaliknya menyifatkan golnya sebagai teruk tetapi nasib tetap menyebelahi United.
“Gol ke-150 itu tidak menggambarkan apa-apa namun saya amat berbangga. Paling penting kami kembali bangkit untuk mencatat kemenangan selepas Wolfsburg membuka jaringan awal. “Kami hilang kualiti dalam melakukan hantaran pada satu ketika. Namun kami bernasib baik dan mempamerkan karakter sebenar untuk bangkit,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment