Tuesday, November 17, 2009

United mampu bangkit raih gelaran EPL


WALKER (kiri) dan Cole bergambar dengan Piala Masters Asia.
Cole mahu bantu bekas kelab juarai kejohanan Masters Asia musim ini


BEKAS penyerang Manchester United, Andy Cole, yakin kelab itu akan bangkit mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea apabila saingan memasuki fasa terakhir musim ini. "United mempunyai kekuatan untuk mempertahankan kejuaraannya musim ini. Liga belum cukup 'panas' lagi sekarang. Saya yakin menjelang akhir musim, United akan kembali berada di atas," kata Cole yang tiba di ibu kota bagi menyertai kejohanan tahunan EPL Masters Asia 2009 anjuran Football Focus Asia, semalam. Selain Cole, dua lagi bintang EPL, Steve McManaman dan Ian Walker tiba semalam bagi menjayakan edisi kedua EPL Masters Asia yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad ini. Cole yang terkenal dengan kehebatannya menembusi gawang lawan, berazam menebus kekalahan United kepada Liverpool di perlawanan akhir EPL Masters tahun lalu. "Ini kali pertama saya menyertai Masters selepas bersara daripada EPL. Saya akan memberikan permainan terbaik bagi memastikan United berjaya merebut kejuaraan Masters kali ini."
EPL Masters yang bermula di United Kingdom, 10 tahun lalu, menyaksikan Liverpool menjuarainya tahun lalu selepas menewaskan United 5-3 di Stadium Malawati, Shah Alam. Sebanyak empat pasukan akan bertanding Ahad ini, membariskan 36 bekas pemain EPL gandingan pemain lama dan baru. Pengarah Komersial Kumpulan Football Focus, Robert Teasdale berkata: "Mempunyai 36 bintang EPL serentak di Kuala Lumpur untuk kejohanan ini adalah sesuatu yang unik dan jarang berlaku. "Ia memberi peluang kepada peminat di Malaysia untuk melihat sendiri aksi dan bertemu pemain pujaan mereka. Masters adalah acara menyeronokkan untuk seisi keluarga di mana selain perlawanan bola sepak 6-sebelah, pelbagai acara lain dimuatkan untuk hiburan pengunjung," katanya.

No comments:

Post a Comment