Tuesday, March 23, 2010



United tak gentar



MANCHESTER – “Kami tidak perlu risau tentang Arsenal dan Chelsea.”Demikian tegas pemain tengah Manchester United, Park Ji-sung terhadap dua pencabar utama mereka itu.

Keyakinan itu hadir selepas kejayaan mereka menewaskan Liverpool 2-1 Ahad lalu, sekali gus membolehkan mereka mendahului carta Liga Perdana England dengan kelebihan dua mata.

“Kami tak perlu risau. Kami hanya perlu fokus untuk menang semua baki perlawanan dan kami mampu melakukannya.

“Kemenangan ke atas Liverpool telah membawa semangat baru dalam skuad United,” kata pemain dari Korea Selatan itu.

Ji-sung, 29, telah membuktikan bahawa dia adalah antara watak penting dalam setiap perlawanan besar bagi pasukan itu.

Dia telah menjaringkan gol kemenangan United ketika menentang Liverpool, Ahad lalu selepas mencatat nama sebagai penjaring pada pertemuan dengan Arsenal dan AC Milan sebelum ini.

Menurut Ji-sung, meskipun Arsenal dilihat semakin garang kebelakangan ini, ia bukan ancaman kepada United.

“Kami ada reputasi tersendiri. Kami ada keyakinan untuk terus muncul juara.

“Pencabar kami khususnya Arsenal dan Chelsea juga mempunyai misi yang sama tetapi cabaran daripada dua pasukan berkenaan semakin melonjakkan semangat kami untuk terus tampil garang dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui. Kami sudah membunuh langkah Liverpool.

“Tidak mungkin pasukan hebat seperti United akan menyerah. Kami akan melakukan apa sahaja hingga ke akhir musim,” katanya. – Agensi

No comments:

Post a Comment