Sunday, September 6, 2009

Gaduh tak sudah


Susunan SUFIAN THAURI MUHAMMED
APRIL lalu, Alex Ferguson mendakwa hubungannya dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger semakin pulih.Bos Manchester United itu berkata: “Wujud perasaan saling menghormati antara kami.”Wenger kemudian membalas dengan nada berseloroh: “Dia tahu banyak mengenai wain Perancis dan keadaan itu membantu (hubungan mereka).”Namun, pertembungan kali pertama antara United dan Arsenal musim ini di Old Trafford, 30 Ogos lalu, mengesahkan bahawa hubungan mereka tetap panas, sama seperti sejak ia bermula 13 tahun lalu apabila Wenger menjejak kaki di bumi England untuk melatih skuad Gunners.
United menang 2-1 dan Wenger tanpa semangat kesukanan menyifatkan corak permainan United sebagai anti bola sepak.“Saya lihat pemain United hanya mahu mengasari lawan,” katanya, mungkin merujuk kepada corak permainan pemain tengah Red Devils, Darren Fletcher.“Bagi saya, masalah seperti ini lebih penting untuk diatasi segera berbanding isu sengaja merebahkan badan.”Ferguson tidak memberikan sebarang ulasan meskipun mereka bertemu di Nyon, Khamis lalu, kerana menghadiri forum jurulatih kelab elit.Melihat sejarah pertelagahan Wenger-Ferguson, apa yang berlaku bukan mengejutkan. Istilah berdamai yang dinyatakan mereka sebelum ini ternyata hanya mainan di bibir.Bagi Mikael Silvestre yang pernah bermain di bawah kendalian kedua-dua pengurus itu, Ferguson dan Wenger mempunyai banyak persamaan dan jika ditakdirkan bukan terbabit dalam bola sepak, mereka mampu jadi kawan baik.“Tiada pengurus sebaik mereka dan kedua-duanya pemimpin sejati,” kata Silvestre.“Mereka mementingkan tugas dan mahu jadi yang terbaik. Mereka tegas pada diri sendiri dan pasukan. Mereka juga paling awal dan terakhir meninggalkan padang ketika latihan,” katanya.Sesetengah pemerhati sukan menyifatkan perseteruan Ferguson-Wenger setaraf Ali- Frazier, Borg-McEnroe, Senna-Prost.Ferguson mempunyai sikap gemar memperkecilkan pencabar terdekatnya apabila United berada dalam fasa sukar di peringkat liga atau kejuaraan piala - taktik yang membuahkan hasil kepadanya ketika pasukannya bersaing sengit dengan skuad bimbingan Kenny Dalglish dan Kevin Keegan.
Tapi, dia mendapati taktik itu tidak berkesan terhadap Wenger - lawan yang penuh keyakinan, licik dan mampu membalas.Lucunya antara sebab pertikaman lidah mereka berpunca daripada jenaka yang akhirnya memakan diri seperti diakui Wenger minggu lalu apabila dia membincangkan kenyataannya terhadap Ferguson pada 1999 yang mahukan pengurus berbangsa Scotland itu datang memohon maaf kepadanya dengan menunggang kuda kerana mengkritik rekod disiplin Arsenal.“Memohon maaf menggunakan kuda sebenarnya kiasan saya untuk menenangkan keadaan, tapi ia tidak menjadi,” kata Wenger. Keengganan Wenger minum bersama Ferguson selepas satu perlawanan kedua-dua pasukan menambah bahang pertelingkahan mereka. Ferguson juga masih terkenang bagaimana Wenger enggan bersalam dengannya selepas tamat perlawanan ulangan separuh akhir Piala FA di Villa Park pada 1999. Ferguson juga sering mengkritik rekod disiplin Arsenal. Dia juga mempertikaikan isu kurangnya pemain Inggeris di Arsenal selain permainan kasar pemain Gunners.“Mungkin Wenger berat hati untuk menerima hakikat isu disiplin pasukannya sedangkan kita semua sebenarnya berdepan masalah itu,” kata Ferguson.
Sepanjang permusuhan mereka, pertembungan paling panas adalah Battle of Old Trafford pada September 2003 dan tolak- menolak membabitkan pemain kedua-dua kelab dalam terowong di Highbury, Februari 2005.Kontroversi ‘Pizzagate’ menyaksikan Ferguson terkena piz- za yang dibaling dari bilik persalinan Arsenal selepas skuad Gunners tewas kali pertama dalam 49 perlawanan liga pada Oktober 2004 turut menghiasi dada akhbar seluruh dunia.Ketika kedua-dua pengurus itu bertikam lidah di luar padang, kelakuan pemain panas baran United dan Arsenal memburukkan lagi keadaan.Begitupun, kedua-dua pengurus secara peribadi berasakan hubungan mereka tidak setegang dahulu.Ferguson percaya ketiadaan pemain panas baran seperti Martin Keown, Ruud van Nistelrooy, Roy Keane dan Patrick Viera dalam kedua-dua pasukan sekarang banyak membantu menjernihkan keadaan.“Salah satu punca pergaduhan ialah kerana karakter pemain kedua-dua pasukan,” akui Ferguson. “Kini saya dan Wenger saling menghormati.”
Satu lagi punca ialah selepas lapan tahun mendominasi EPL, mereka mempunyai musuh baru dengan Ferguson bermasalah dengan Rafael Benitez (Liverpool) manakala Wenger sebelum ini menjadikan Jose Mourinho (bekas pengurus Chelsea) sasarannya.Wenger dalam temubual lima bulan lalu mengakui hubungannya dengan Ferguson lebih aman ketika ini.“Hubungan kami paling teruk ketika perlawanan ke-49 (Oktober 2004), ia benar-benar agresif. Tapi, selepas itu keadaan makin tenang kerana anda tidak boleh berada dalam situasi itu sepanjang masa.“Dia juga tidak menaikkan kemarahan saya lagi,” katanya.Namun, melihat karakter Wenger dan Ferguson, ramai pemerhati tidak percaya hubungan aman itu akan berpanjangan. Selagi kedua-duanya bertarung taktik di padang, selama itulah hubungan mereka tidak sejernih mana.

No comments:

Post a Comment