Sentuhan Giggs terus menyengat
Pemain veteran turut beri sumbangan kepada gol kedua yang membawa kemenangan United
PADA 29 November ini, genap usia Ryan Giggs 37 tahun.Tetapi dalam usianya yang semakin lanjut, sejarah seperti tidak mempunyai pilihan kecuali terus merakamkan sumbangan bekas pemain antarabangsa Wales itu kepada perjuangan Manchester United.Seperti di Old Trafford dinihari semalam, Giggs yang menyemarakkan kebangkitan pasukannya sebelum menangkis cabaran juara Jerman, Vfl Wolfsburg, 2-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah Kumpulan B.Di Old Trafford, United selalunya sukar tumbang. Tetapi itu tidak bermakna pasukan pimpinanan Sir Alex Ferguson itu tidak boleh tercicir dalam permainan.
Jadi, apabila penyerang Bosnia, Edin Dzeko, melompat lebih tinggi daripada Patrice Evra untuk memanfaatkan hantaran Makato Hasebe sebelum menanduk bola masuk ke gawang United pada minit ke-55, apakah ini bererti United menghadapi kemungkinan menerima nasib serupa Liverpool yang rebah 0-2 di tangan Fiorentina?Liverpool kecundang melalui dua gol - jaringan Steven Jovetic di Artemio Frachi - di Italy, di padang seterunya. Sebaliknya United tercicir di depan penontonnya.Jadi, siapa yang boleh diharapkan untuk mengembalikan keyakinan United?
Jika hendak diharapkan Michael Owen, bekas pemain Newcastle United itu hanya beraksi sekadar 20 minit dan menyentuh bola sekadar dua kali sebelum digantikan Dimitar Berbatov gara-gara kejang otot.Jawapannya ialah orang lama ataupun lebih sedap disebut pemain veterannya.Jadi, apabila United memperolehi tendangan percuma pada minit ke-59, siapa lagi yang lebih wajar mengambil tendangan tersebut kalau tidak Giggs.
Masih ingat siapakah pemain yang menyamakan kedudukan 1-1 sebelum United menundukkan Tottenham Hotspur 3-1 dalam Liga Perdana England di White Hart Lane pada 12 September lalu?Jawapannya ialah Giggs. Hari ini, United boleh melupakan tentang kepakaran Cristiano Ronaldo. Giggs juga tidak kurang hebatnya dari segi tendangan percuma. Bahkan tendangannya lebih berbahaya kerana beliau menggunakan kekuatan kaki kirinya.Apabila tendangan Giggs dapat memperdayakan penjaga gawang Wolfsburg, Diego Benagilo, bayangkan kegembiraan yang terpancar pada wajah Ferguson dan juga penonton-penonton United.Benar, rembatan itu telah terkena kepala rakan sepasukannya, John O'Shea, sebelum melantun mengecewakan penjaga gawang Wolfsburg itu.Tetapi dari segi catatan sejarah, gol itu adalah sumbangan Giggs.
Jadi, Ferguson yang sebelum ini tidak putus-putus menghargai sumbangan Giggs, nampaknya beliau akan terus memberikan pujian kepada pemain veteran itu.'Melihat kepada kesegaran permainannya, beliau seperti baru memulakan kerjayanya. Apa yang menarik tentang Giggs ialah anda boleh terus-menerus memujinya tetapi beliau tidak akan terjejas dengan segala pujian anda itu,' kata Ferguson.
Sebagai pengurus pasukan yang sudah lama bersama United, Ferguson begitu tahu isi hati Giggs.Tetapi sumbangan Giggs tidak setakat gol penyamaannya. Bahkan gol kemenangan United yang dijaringkan Michael Carrick pada minit ke-78 juga mempunyai sentuhan Giggs.Jika sumbangan Giggs akan terus disanjung, nasib Owen pula sungguh berbeza.Menyedari pengurus pasukan England, Fabio Capello, turut menyaksikan perlawanan itu, Owen ingin menggunakan pertarungan tersebut untuk membuktikan kemampuannya dalam usaha untuk mendapat semula tempatnya dalam skuad negara yang akan menentang Ukraine dan Belarus bulan ini.Yang jelas, Owen yang tujuh tahun lebih muda daripada Giggs terpaksa berehat selama tiga minggu.Sebaliknya, Giggs akan terus beraksi.
No comments:
Post a Comment