MANCHESTER, – Penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov percaya pasukannya mampu mengekalkan kejuaraan Liga Perdana England musim ini menjelang perlawanan menentang Wigan Athletic di Old Trafford, hari ini. Inspirasi Wayne Rooney yang membawa kemenangan 3-1 ke atas Hull City, Ahad lalu mengurangkan jarak antara mereka dengan pendahulu liga, Chelsea kepada dua mata sebelum pertemuan antara The Blues dan Fulham kelmarin. Pengurus United, Alex Ferguson dalam kenyataan awal musim ini berkata, jika pasukannya semakin hampir dengan Chelsea menjelang tahun 2010 mereka mampu untuk muncul juara buat kali keempat berturut-turut dan Berbatov sangat bersetuju dengan kenyataan tersebut. “Saya rasa kami mempunyai kedudukan yang baik, masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan ia akan menjadi lebih sukar tetapi selepas penghujung saingan saya berasa kami akan berada di tangga teratas.“Kami berdepan dengan kesukaran selepas menghadapi masalah kecederaan tetapi kami masih mempunyai pasukan yang bagus dan pemain sudah kembali sembuh, kami akan meneruskan rentak kemenangan. “Pengurus kami tahu apa yang perlu dilakukan terutama sekali dalam menukar perancangan yang diperlukan dan saya pasti kami akan berada di tangga teratas selepas hujung musim,” katanya.
Mereka kehilangan hampir kesemua pemain pertahanan utama seperti Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, John O’Shea, Wes Brown, Gary Neville dan Jonny Evans yang bergelut dengan masalah kecederaan.
Kelebihan dijangka kembali buat United selepas pasukannya mendapat semula pertahanan Brown dan Vidic dalam perlawanan menentang Hull dan dia percaya kehadiran kedua-dua pemain akan membantu mereka menewaskan Wigan.Prestasi Wigan pula sekarang ini kurang memberangsangkan. Mereka gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan, hanya mengumpul satu mata dari empat perlawanan di tempat lawan dan melepaskan 39 gol dalam 18 perlawanan liga, kedua paling lemah di belakang Hull. Seri 1-1 menentang Blackburn Rovers menyebabkan mereka semakin menghampiri zon penyingkiran dengan memungut hanya 19 mata tetapi kebangkitan Wigan menentang pasukan Sam Allardyce membolehkan pengurus mereka, Roberto Martinez meletakkan harapan buat anak buahnya supaya memberi saingan kepada United. “Bagi saya prestasi kami ketika bertemu Blakcburn merupakan mata kebangkitan. “Kami akan berkunjung ke sana dan cuba mencatat kemenangan. Bagaimanapun ia memang sukar. Anda lihat prestasi mereka ketika di tempat sendiri begitu hebat, mereka mempunyai pasukan bagus dan mampu melakukan aksi berbeza,” katanya. United masih gagal menurunkan Ferdinand dan Evans, kedua-dua pemain mengalami kecederaan betis dan Neville pula bergelut dengan kecederaan pangkal paha, manakala Nani dan Federico Macheda mampu diturunkan selepas sembuh dari kecederaan. Sementara itu, Wigan kehilangan pemain tengah, Mohamed Diame, yang mengalami koyakan ligamen dan tidak akan beraksi sehingga Februari depan. – – AFP
No comments:
Post a Comment