LONDON: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya pertemuan menentang Arsenal di The Emirates, hari ini, akan menghadirkan satu lagi babak bersejarah dalam persengketaan hebatnya dengan Gunners. Ferguson memenuhi impiannya untuk menyingkirkan Liverpool di persada bola sepak Inggeris beberapa tahun lalu dan Chelsea muncul sebagai pencabar paling utama sejak kebelakangan ini, tapi Arsenal, sama ada diuruskan oleh Arsene Wenger mahupun George Graham, sering menjadi duri dalam daging buat United. Dari saat pertahanan Arsenal, Nigel Winterburn memulakan ejekan terhadap Brian McClair berikutan kegagalan bintang United itu menjaringkan penalti pada perlawanan Piala FA 1988, tersemat perasaan dendam setiap kali dua kelab gergasi itu bertembung. Senarai perlawanan yang berbaur dendam berterusan dan juga tanpa henti: perbalahan dalam terowong antara Roy Keane dan Patrick Vieira, cara Martin Keown meraikan penalti Ruud van Nistelrooy yang tersasar dan Battle of Buffet menyaksikan Ferguson dibaling dengan piza oleh pemain Arsenal selepas perlawanan genting adalah antara beberapa kejadian yang membuktikan permusuhan itu.
Hubungan tegang Ferguson dengan Wenger sering mencetuskan plot sampingan sebelum perlawanan tapi mereka lebih rapat kali ini dan gembira untuk menikmati perlawanan besar itu. “Perlawanan dengan Arsenal adalah bersejarah,” kata Ferguson. “Sejak saya hadir di sini, kecuali tahun-tahun awal sebelum George Graham memenangi gelaran pertamanya, hanya Arsenal dan United yang sering bersaing merebut trofi. “Tiada ragu lagi Chelsea kini pasukan yang menonjol dan kami serta Chelsea yang mencabar kejuaraan buat beberapa tahun kebelakangan. “Tapi anda tidak boleh nafikan terus Arsenal kerana sejarah mereka sering menjamin satu cabaran. Dan mereka pastinya berada dalam laluan itu sekali lagi. “Perlawanan Ahad ini besar kesannya kerana kedua-dua pasukan benar-benar berpeluang untuk memenangi liga.” Wenger sering kelihatan tidak selesa apabila lawan memulakan bicara tapi beliau gembira untuk berdepan Ferguson sekali lagi kerana ia membuktikan Arsenal masih pencabar utama. Skuadnya tampak mampu menekan United dan Chelsea selepas mengatasi masalah kecederaan yang panjang dan memadam jurang 11 mata dengan pendahulu. Malah tanpa dua pemain yang cedera, Thomas Vermaelen dan Eduardo - kedua-duanya diketepikan kerana kecederaan berikutan seri pada pertengahan minggu dengan Aston Villa - Wenger yakin pemainnya mampu memuncak tepat pada masanya. “Saya tidak sabar menanti kerana ia adalah satu perlawanan yang sering menjanjikan permainan yang berkualiti,” kata Wenger. “Manchester United dan Arsenal sudah mengalami beberapa perlawanan sukar, dan kadang-kadang ia tidak mudah daripada segi fizikal, tapi kedua-dua pasukan sering cuba untuk bermain. “Pertarungan ini jarang sekali membosankan, anda selalu terfikir dari awal bahawa ia adalah perlawanan bola sepak yang hebat, dan anda sukakannya,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment