Wednesday, September 30, 2009

United sasar angka lapan

MANCHESTER - Manchester United menyasar kemenangan berterusan kepada lapan perlawanan apabila menentang juara Jerman, Wolfsburg dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford, esok.United melancarkan buruan gelaran buat kali ketiga selepas menang 1-0 ke atas Besiktas dalam perlawanan terdahulu sementara lawan mereka, Wolfsburg juga mencatat kemenangan ke atas CSKA Moscow - satu pertemuan yang dianggap seimbang.United turun selaku pasukan pilihan kali ini berdasarkan rekod bersih di tempat sendiri dan kemenangan dalam enam pertemuan aksi Liga Perdana England, tidak termasuk ketika menewaskan Besiktas dalam pertemuan pertama terdahulu, selepas melalui tempoh suram kalah kepada Burnley dalam saingan liga domestik.
Kemenangan terakhir United semasa menewaskan Stoke City, Sabtu lalu menguatkan lagi keyakinan Red Devils, malah John O' Shea yakin tidak ada halangan untuk mencapai lapan kemenangan jika menewaskan Wolfsburg, esok. ''Kami tahu betapa pentingnya untuk kembali bersaing selepas tewas kepada Burnley yang sungguh mengecewakan. ''Kami selalunya akan cepat bertindak jika keputusan tidak memberangsangkan (kalah) dengan menghasilkan kemenangan selepas itu. Saingan akan bertambah sengit dan kami perlu memastikan semangat ini berterusan,'' kata O'Shea.
Perlawanan terakhir United di Old Trafford ialah menentang musuh ketat, Manchester City yang berkesudahan dengan kemenangan tuan rumah 4-3 tetapi penjaga gol, Ben Foster dipersalahkan atas gol pertama lawan. Foster bagaimanapun sedar untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama dan membuktikan dia masih hebat menjelang menentang Wolfsburg, perkara yang turut diakui sendiri oleh rakan sepasukannya, Nemanja Vidic. ''Saya berasa selesa dengan Ben dan saya sangat positif dengan keyakinannya. Lebih banyak anda beraksi dengan penjaga gol yang sama, lebih banyak anda akan pelajari (persefahaman),'' kata Vidic. Bagaimanapun, di sebalik keyakinan itu, Foster tahu Wolfsburg akan memberikan tentangan yang sengit kerana United akan berdepan dengan kehebatan dua gandingan pemain yang pernah mencatat sejarah jaringan gol bola sepak Jerman. Grafite dari Brazil dan gandingannya, Edin Dzeko dari Bosnia menjaringkan 54 gol antara mereka musim lepas yang turut menyaksikan Wolfsburg menjuarai Liga Jerman buat pertama kali. Dzeko menjaringkan 26 gol manakala Grafite menyumbat 28 gol sekali gus meletakkan United dalam bahaya selepas kali terakhir tewas 0-1 kepada AC Milan di gelanggang sendiri pada 2005. ''Kami mencari kemenangan di sana (Old Trafford). Kami mahu mempamerkan permainan yang menarik dan membawa pulang tiga mata.
''Ini adalah sasaran kami,'' kata Grafite. Sementara itu, pasangan serangan Grafite, Dzeko tidak sabar untuk beraksi di Old Trafford. ''Ia seolah-olah seperti mimpi dapat bermain menentang Manchester United. Ini adalah peluang saya untuk bermain menentang sebuah pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik di Eropah. Saya mahu buktikan kepada mereka bahawa saya boleh bermain dalam perlawanan hebat ini,'' kata Dzeko. - AFP

No comments:

Post a Comment