Monday, December 14, 2009

Ferguson tak gusar kalah
LONDON - Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson tidak gusar dengan kekalahan 0-1 yang dialami pasukan itu kepada Aston Villa walaupun ia bermakna cengkaman Chelsea kian kukuh di persada liga. Juara tahun lalu itu mampu berdiri sama tinggi dengan Chelsea berdasarkan kiraan mata yang sama jika menang ke atas Villa kerana The Blues juga gagal mempamer prestasi cemerlang apabila seri 3-3 dengan Everton. United tumbang kali pertama di laman sendiri kepada Villa sejak 1983 setelah gagal mencari jaringan penyamaan selepas tandukan penyerang Villa, Gabriel Agbonlahor menerjah jaring pada minit ke-21 "Kami berkampung dalam kawasan penalti lawan pada babak kedua perlawanan dan mempunyai banyak peluang keemasan.
"Kami cuma perlu mengambil satu daripada peluang itu untuk kembali berada di landasan betul, sekaligus menukar rentak permainan. Sayangnya, peluang yang satu itulah gagal kami sudahkan. "Saya fikir kami berhak mendapat pujian berdasarkan persembahan pada babak kedua perlawanan. "Mereka memang layak mendapat gol itu namun kami menggasak mereka sebaik separuh masa kedua bermula dan mencipta banyak peluang. Malangnya, kami masih tidak mempunyai apa-apa," katanya kepada MUTV. Apa pun, Ferguson berang terhadap tambahan masa kecederaan yang diberi pada akhir perlawanan tetapi memuji Villa yang kini berada di tangga ketiga liga. "Pertahanan Villa cukup kental dan mereka perlu diberi pujian. Pemain kami sentiasa dihampiri, rembatan kami disekat dan mereka melakukan segalanya untuk menghalang usaha kami. Pertahanan mereka benar-benar berusaha," tambahnya.
United tewas dalam empat perlawanan liga setakat ini namun Ferguson percaya situasi pemburuan juara menampakkan mereka masih berada di kedudukan baik untuk berada di kedudukan teratas pada akhir musim."Ia bukan sesuatu yang mudah. Saya bercakap tentang masa. Jika kami mampu berada di atas pada Januari, maka kami mempunyai peluang baik menjuarai liga," katanya.Villa sudah menundukkan tiga gergasi musim ini iaitu United dan Liverpool di gelanggang lawan manakala Chelsea di laman mereka sendiri, Villa Park.
"Rekod kami menentang pasukan gergasi kini cukup baik. Saya rasa kami bermain secara bijak dan berani. Lama benar rasanya kelab ini tidak menang di United dan kini kami melakukannya," kata pengurus Villa, Martin O'Neill Ditanya reaksi marahnya berikutan cuma tiga minit masa kecederaan diberi, Ferguson mendakwa masa perlawanan itu telah 'ditarik keluar' oleh pengadil.
"Anda mempunyai sebab yang nyata untuk menambah lebih daripada tiga minit. Jelas, masa itu telah ditarik keluar oleh pengadil."Perlawanan terhenti selama dua minit dan tiga saat untuk dua kali. Tetapi kami cuma diberi tiga minit untuk masa kecederaan," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment