Monday, January 25, 2010

Rooney bangga jaring empat gol



MANCHESTER: Wayne Rooney percaya dia bakal menikmati musim terhebat sepanjang kariernya selepas buat pertama kalinya meledakkan empat jaringan ketika membantu Manchester United membelasah Hull 4-0. Selepas membuka jaringan pada minit kelapan di Old Trafford, Rooney menjaringkan tiga lagi gol dalam tempoh lapan minit terakhir sekali gus membantu United menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris. Kejayaan itu membuatkan Rooney muncul pemain United yang pertama menghasilkan empat gol dalam satu perlawanan sejak Ruud van Nistelrooy melakukannya ketika kempen Liga Juara-Juara menentang Sparta Prague pada 2004. Rooney, setakat ini menyumbat sejumlah 19 gol liga musim ini dan memerlukan lima lagi untuk mengatasi rekodnya iaitu 23 gol. “Ia adalah kali pertama saya menjaringkan empat gol sejak terbabit dalam bola sepak secara profesional dan saya rasa sungguh hebat,” kata Rooney. “Saya bangga dengan pencapaian itu. Ia adalah sesuatu yang sangat istimewa. “Saya yakin dapat mengatasi pencapaian terbaik saya bersama United sebelum ini. Saya pasti kecewa jika ia tidak berlaku kerana saya masih mempunyai 20 perlawanan musim ini. Saya akan berduka jika saya gagal menjaringkan lebih daripada 23 gol musim ini. “Perbezaannya musim ini ialah saya lebih banyak bergerak di dalam petak penalti lawan dan saya akan cuba meletakkan diri saya dalam kedudukan sesuai untuk menjaringkan gol.” - AFP

No comments:

Post a Comment