Monday, January 25, 2010

'Lupakan sengketa'


MANCHESTER: Dalam usaha untuk mengekalkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, pengurus pasukan, Alex Ferguson merayu penyokong Manchester United supaya mengetepikan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemilik kelab, sebaliknya terus memberikan sokongan padu buat pasukan berkenaan. Sebelum merakamkan kejayaan 4-0 ke atas Hull, Ferguson meminta peminat yang marah agar menghentikan segera kempen menentang keluarga Glazer yang memiliki kelab itu. “Keluarga Manchester United sedang tertekan kerana pelbagai isu serta kontroversi termasuk masalah kewangan yang melanda kelab,” kata Ferguson. “Ramai peminat kami tidak gembira dengan masalah kewangan ini tetapi kita tidak boleh membiarkan situasi ini berlarutan hingga kita berpecah belah. “Saya yakin semua lawan kita sedang bertepuk tangan dan hanya menunggu masa untuk melihat kita jatuh. Ia akan berlaku jika kita tidak memikirkan kesan jangka panjang atas perbuatan kita sendiri.” Selepas kejayaan ke atas Hull yang meletakkan United ke persada EPL semula selepas tiga bulan lalu, ada di kalangan penyokong sekali-sekala mencemuh keluarga Glazer, dan Ferguson tegas mengatakan bahawa ia tidak mendatangkan masalah buat pemainnya. “Saya tidak fikir apa yang dilakukan itu memberi kesan kepada pemain,” katanya. Ferguson lebih cenderung memperkatakan Wayne Rooney yang kini sudah mengumpul 19 gol, empat kurang daripada jumlah terbaiknya sebelum ini. “Jaringan Wayne sememangnya menarik,” kata Ferguson. “Ia adalah kali pertama dia menjaringkan empat gol buat kami dan ia adalah kali pertama pemain United menjaringkan empat gol sejak Ole Gunnar Solskjaer melakukannya beberapa tahun lalu. “Ia cukup melegakan.
Dia berada pada tahap terbaik untuk menjaringkan gol. Saya rasa dia akan memperbaiki catatan 23 gol yang dilakukannya sebelum ini. Saya yakin dengan itu. Empat gol malam ini akan menaikkan lagi semangatnya. Dia mahu meningkatkan lagi keupayaan menjaringkan gol dan dia sedang melakukannya.” Ferguson turut gembira dengan kehadiran semula pertahanan England, Rio Ferdinand yang berehat panjang sejak mulai Oktober lalu. Beliau berkata: “Saya rasa, kecuali pada 20 minit terakhir, pertahanan kami kelihatan mantap. Kehadiran Rio membuatkan benteng kami semakin kukuh.” United kini menduduki tangga teratas EPL dan kedudukan itu memang menjadi idaman Ferguson sejak tahun baru. “Perbezaan gol mungkin menjadi faktor penting dan kami perlu mengekalkan kedudukan selaku pendahulu,” katanya. “Saya sedar lawan kami kurang bermain satu perlawanan tetapi mereka perlu menang. Kami berada di kedudukan yang tepat. Adalah baik untuk berada di atas ketika Januari berbanding bulan lain.” - AFP

No comments:

Post a Comment