Kecederaan Evra, Giggs resahkan Ferguson
MANCHESTER: Manchester United berdepan masalah kecederaan membabitkan Patrice Evra dan Ryan Giggs menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang CSKA Moscow di gelanggang lawan, Rabu ini. Pada masa sama, Sir Alex Ferguson mengharapkan pertahanan Serbia, Nemanja Vidic, yang tidak beraksi ketika United menang 2-1 ke atas Bolton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, akibat kecederaan buku lali kelmarin, akan kembali cergas bagi perlawanan pertengahan minggu itu. Namun, dia mengakui bimbang dengan keadaan Evra dan Giggs selepas mengalami kecederaan ketika menentang Bolton.
Ia bukan persembahan yang meyakinkan daripada United tetapi masih kembali ke persada liga, selepas Chelsea tewas kepada Aston Villa. Dan ketika Ferguson mahukan kemantapan di benteng pertahanannya - barisan itu hanya mengekalkan rekod bersih tiga kali daripada sembilan perlawanan liga - dia tetap gembira dengan kejayaan kembali ke puncak liga biarpun dengan berita kecederaan pemainnya. Pertahanan United adalah kunci kejayaan musim lalu dan biarpun Ferguson sedar saingan musim ini lebih sukar, dia percaya pemainnya boleh menampilkan persembahan lebih baik. “Giggs mungkin terpaksa melupakan kunjungan ke Moscow,” kata Ferguson ketika melihat senarai kecederaan pemainnya. “Kedudukan Evra akan kami lihat esok dan dia juga mungkin diketepikan. Vidic sudah semakin pulih dan dia pasti akan cergas untuk pertemuan dengan Liverpool (Ahad ini). “Saya fikir (Dimitar) Berbatov juga akan pulih dan kami akan cuba pastikan Wayne Rooney bersedia bagi pertemuan dengan Liverpool.” - AFP
http://1steleven.blogspot.com
ReplyDelete