Sunday, March 21, 2010

Man. United lunas dendam



MANCHESTER – Tandukan cantik Park Ji-sung membantu Manchester United merampas kembali kedudukan pendahulu Liga Perdana selepas menundukkan musuh tradisi, Liverpool 2-1 di Old Trafford semalam. Ketika jurulatih, Sir Alex Ferguson sedang berkira-kira untuk mengeluarkan Ji-sung, pemain sayap Korea Selatan itu meledak gol kemenangan tuan rumah, dengan menanduk hantaran cantik Darren Fletcher pada minit ke-60.Kemenangan ini menamatkan badi kekalahan United dalam tiga pertemuan terakhir dengan Liverpool, sekali gus memintas Arsenal dengan kelebihan dua mata. Bagi Liverpool, kekalahan terbaru ini menyukarkan peluang mereka untuk merebut kedudukan empat teratas, yang memberikan tiket automatik ke Liga Juara-Juara Eropah, musim depan. Tuan rumah, yang dibayangi kekalahan 1-4 kepada Liverpool di gelanggang sendiri musim lalu, bagaimanapun dikejutkan oleh jaringan awal pasukan pelawat pada minit kelima.Penyerang Sepanyol, Fernando Torres meneruskan rekod cemerlangnya ke atas United, apabila melakukan tandukan cantik hasil hantaran silang Dirk Kuyt untuk meletakkan Liverpool 1-0 di depan.Bagaimanapun, United menyamakan kedudukan menerusi penalti yang disempurnakan Wayne Rooney pada minit ke-12, selepas Valencia dijatuhkan oleh Javier Mascherano.Walaupun ulang tayang televisyen menunjukkan pemain sayap Ecuador itu dikasari di luar kotak penalti, namun dia memilih untuk menjatuhkan diri dalam kawasan penalti.Tendangan pertama Rooney berjaya ditepis penjaga gol Liverpool, Pepe Reina, namun penyerang England itu pantas menolak bola muntah untuk gol penyamaan 1-1. Liverpool beroleh peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-18, tetapi hantaran Steven Gerrard kepada Torres dapat dibaca penjaga gol United, Edwin van de Sar, yang pantas meluru keluar meluru menangkap bola. Gerrard mempersia-siakan peluang untuk kembali meletakkan Liverpool di depan ketika babak pertama tinggal beberapa saat untuk ditamatkan, apabila melepaskan rembatan lemah kaki kiri yang mudah ditangkap van de Sar, biarpun hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gol.United bertindak agresif sebaik babak kedua bermula, Rooney menghantar bola cantik kepada Nani, yang bagaimanapun melepaskan rembatan meliar pada minit ke-46.Sembilan minit kemudian, Valencia gagal membaca hantaran cantik Darren Fletcher, membiarkan bola lintang pemain itu dan mempersia-siakan peluang untuk menambah gol.Bagaimanapun, pada minit ke-59, hantaran cantik Fletcher tidak lagi membazir, apabila Ji- sung, yang tidak dikawal pertahanan lawan merebahkan badan untuk menanduk bola tanpa mampu diselamatkan Reina. Seminit sebelum tamat permainan, Torres memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatannya berjaya ditangkap van de Sar. – Agensi

No comments:

Post a Comment