Sunday, March 14, 2010

United kembali ke puncak liga


Wayne Rooney diasak oleh pemain Fulham dalam saingan bola sepak Liga Perdana England di Old Trafford, semalam. United menang 3-0. - AP


MANCHESTER - Manchester United berjaya menebus kekalahan kepada Fulham musim ini selepas mencatat kemenangan dengan jumlah gol yang sama 3-0 di Stadium Old Trafford, semalam.Kemenangan anak buah Alex Ferguson itu membolehkan mereka kembali berada di puncak Liga Perdana England memintas Chelsea dengan kelebihan dua mata.Wayne Rooney sekali lagi muncul wira pasukan Red Devils itu selepas meledakkan dua gol pada separuh masa kedua, sebelum Dimitar Berbatov melengkapkan kemenangan bergaya pasukan tuan rumah itu dengan menjaringkan gol ketiga.Bagaimanapun, pada aksi separuh masa pertama kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol walaupun pasukan pelawat terlebih dahulu melakukan serangan menerusi rembatan Clint Dempsey pada minit kedua tetapi menuju tepat ke arah Edwin van der Sar,Tersentak dengan serangan tersebut, United mula mengatur strategi pada minit ketujuh dari sebelah kiri yang dimulakan melalui hantaran silang Nani kepada Berbatov, namun pemain Bulgaria itu gagal menanduk tepat ke arah pintu gol.

United mula membuktikan kehebatan mereka pada 10 minit terakhir perlawanan separuh masa pertama dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Fulham.Pada minit ke-34, rembatan Darren Fletcher hasil gerakan Nani dan Berbatov juga tidak membuahkan sebarang hasil apabila ia berjaya dihalang pertahanan kanan Fulham, Stephen Kelly.Selang seminit kemudian giliran Rooney pula membuat gerakan satu dua dengan Berbatov, namun rembatan jarak jauh yang dilakukannya dihalang oleh dua pertahanan lawan yang merebahkan badan serentak. The Cottagers cuba untuk mengimbangi serangan United dengan melakukan serangan pada minit ke-37, namun sepakan lambung Bobby Zamora yang menerima hantaran cantik Danny Murphy tidak menepati sasaran.Empat minit sebelum separuh masa pertama tamat, Nani berjaya membawa bola sehingga ke dalam petak penalti Fulham tetapi Kelly berjaya menghalang niat pemain Portugal itu yang ingin melakukan rembatan ke arah gawang golnya.

Kerajinan United melakukan serangan bertubi-tubi ke kawasan Fulham akhirnya berbayar sebaik sahaja perlawanan separuh masa kedua bersambung apabila Rooney menjaringkan gol dengan menyudahkan hantaran Nani pada minit ke-46 hasil gerakan satu dua.Fulham pula seperti tidak bermaya pada separuh masa kedua dengan hanya melakukan satu percubaan melalui Damien Duff di minit ke-49 selepas ketinggalan 1-0.Rooney menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-82 selepas Berbatov berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran kepada penyerang England itu yang melepaskan rembatan ke arah penjuru pintu gol lawan.Gol ketiga United menjelma lima minit kemudian selepas Park Ji-Sung melakukan hantaran dari sebelah kiri menuju ke dalam petak penalti Fulham dan Berbatov berjaya menanduk dari jarak lapan meter. - Agensi

No comments:

Post a Comment