Friday, August 7, 2009

Benteng tempang


MANCHESTER: Pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic dan Wes Brown mungkin tidak dapat beraksi pada saingan Perisai Komuniti menentang Chelsea di Wembley, Ahad ini.Vidic dari Serbia dan pertahanan kanan England, Brown tidak beraksi ketika menang 2-0 ke atas Valencia dalam satu perlawanan persahabatan di Old Trafford kelmarin dan mereka dijangka tidak sempat sembuh sebelum hujung minggu ini.John O’Shea akan menggantikan tempat Brown yang kecederaan paha manakala Jonny Evans akan menggantikan Vidic yang dilaporkan cedera pergelangan kaki.Pengurus United mengharapkan kedua-duanya akan kembali cergas untuk membantu pasukannya menentang Birmingham pada perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris, 16 Ogos ini.
Selain dibebani masalah pertahanan, Ferguson juga perlu mengakui bahawa gerakan penyudah Michael Owen masih lagi mengecewakan ketika menentang Valencia apabila dia terlepas empat peluang untuk menjaringkan gol pertamanya di Old Trafford.“Memang baik sekiranya Michael dapat menjaringkan gol,” kata Ferguson. “Dia mungkin menjaringkan empat gol. Ada kalanya pergerakannya bagus tetapi apabila menerima hantaran Wayne Rooney, cubaannya pula melewati palang gol.”Ketika aksi longlai Owen itu turut disaksikan jurulatih England, Fabio Capello, Ferguson pula gembira dengan prestasi pemain sayap Ecuador, Antonio Valencia yang merencana kedua-dua gol United itu.“Ia satu persembahan yang menarik,” kata Ferguson. “Ia memang usaha baik oleh seorang pemain sayap. Dia melakukan larian pantas, bertenaga dan seimbang.“Sejak hadir ke kelab kami, dia berjaya memberikan impak yang baik dan kami gembira dengan persembahannya.” - AFP

Thursday, August 6, 2009

Van der Sar kena rehat
LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester United akan memulakan musim baru tanpa khidmat penjaga gol Belanda, Edwin van der Sar yang terpaksa berehat selama lapan minggu akibat patah jari.Berdasarkan laman web rasmi kelab (www.manutd.com), Van der Sar menjalani pembedahan tangan kirinya yang cedera selepas menyelamatkan sepakan penalti Danijel Pranjic ketika kekalahan United di tangan Bayern Munich baru-baru ini.“Dia tidak akan dapat beraksi hingga lapan minggu,” kata kelab itu. “Ujian menunjukkan dia tidak akan dapat mencapai tahap kecergasan hingga hujung September.”Van der Sar menjadi tonggak kejayaan United ketika menjulang gelaran ke-18 musim lalu dan mencatat rekod bersih tanpa melepaskan sebarang gol sepanjang 14 perlawanan berturut-turut. - Reuters

Wednesday, August 5, 2009


'Chelsea kini ancaman kami'
FERGUSON

LONDON - "Kamu langsung tidak mempunyai peluang untuk memenangi gelaran Liga Perdana England." Demikian kenyataan sinis Alex Ferguson kepada seteru utamanya dari Liverpool, Rafael Benitez. Pengurus Manchester United itu dalam misi memenangi gelaran liga buat kali keempat berturut-turut memberitahu, skuad Chelsea bimbingan Carlo Ancelotti adalah ancaman terbesar buat pasukannya. Ferguson berkata: "Amat sukar buat mereka untuk menyamai penca- paian musim lepas, apatah lagi memperbaiki pencapaian tersebut. Pasukan lain akan tahu lebih banyak tentang mereka."
Skuad bimbingan Benitez berjaya memberi saingan sengit kepada United sebelum menamatkan saingan musim lepas sebagai naib juara liga. "Liverpool mungkin mempamerkan prestasi terbaik mereka dalam masa 20 tahun ini pada musim lepas, namun masih ketinggalan empat mata di belakang kami," kata Ferguson "Tonggak utama pasukan itu kini terletak di tangan Steven Gerrard dan Fernando Torres." Sementara itu, Ferguson menjadikan Chelsea sebagai pencabar utama mereka bagi kempen musim ini. "Chelsea miliki ramai pemain berkualiti dan mereka adalah calon juara kali ini," jelasnya. - Agensi

Sunday, August 2, 2009

Carragher bimbang ancaman Owen


LIVERPOOL, England - Pemain pertahanan Liverpool, Jamie Carragher semalam mengakui dia bimbang dengan ancaman serangan yang bakal dilakukan oleh bekas rakan sepasukannya, Michael Owen apabila pemain tersebut bersama Manchester United.Carragher yakin tindakan bos United, Sir Alex Ferguson menandatangani perjanjian dengan penyerang berusia 29 tahun itu kerana mempunyai rancangan tersendiri kerana Owen sebelum ini sering dibelenggu dengan masalah kecederaan ketika bersama Newcastle.
"Tindakan menandatangani perjanjian dengan Michael Owen satu cabang perniagaan yang bijak oleh United. Dia (Owen) telah memulakan aksi awal musim yang sangat baik."Sebelum ini saya berharap dia akan berpindah ke sebuah kelab besar kerana dia menerima kritikan yang banyak di Newcastle."Kenapa? Apakah yang membuatkannya melakukan kesilapan di sana? Bagi saya, Michael Owen masih seorang penyerang yang hebat dan pemain contoh sempurna," kata Carragher kepada Sunday Mirror. - AFP
United nafi curi Pogba

MANCHESTER - Penyandang juara Liga Perdana England, Manchester United menafikan mereka telah mencuri pemain berusia 16 tahun, Paul Pogba dari kelab Perancis, Le Havre. United telah dituduh menawarkan nilai tinggi kepada ibu bapa pemain remaja itu, yang menjadi ketua pasukan kebangsaan bawah 16, bagi mendorongnya untuk membatalkan kontrak yang dimilikinya sehingga hujung musim ini.
"Perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali yang dilakukan oleh pasukan berstatus tinggi," menurut satu kenyataan keras Le Havre. Bagaimanapun jurucakap United berkata kepada BBC Sport, ia adalah tidak benar, semuanya telah dilakukan di bawah garis panduan UEFA. "Pemain itu dan ibu bapanya enggan untuk meneruskan perbincangan dengan Le Havre kerana Manchester United menawarkan jumlah wang yang sangat tinggi kepada ibu bapa pemain itu dengan tujuan meneruskan perpindahan anaknya itu," menurut kenyataan Le Havre lagi. - AFP

Saturday, August 1, 2009

Percaturan Ferguson
Sumber:http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Arena/20090801194556/Article/index_html

SETIAP tahun ketika sesi jelajah pra-musim, Alex Ferguson akan meluangkan masa bercakap mengenai pelbagai isu termasuk harapan terhadap pasukannya, Manchester United.Ikuti sebahagian temubual Ferguson dengan sebuah akhbar Britain, baru-baru ini.

SOALAN (S): Musim panas kali ini tampak menarik. Bagaimana anda lihat perkembangan bola sepak dunia setakat ini?
ALEX FERGUSON (AF): Apa yang berlaku sekarang menolak dakwaan awal bahawa bola sepak dunia akan terjejas teruk akibat masalah kewangan global. Kita jangkakan banyak kelab akan mengamalkan pendekatan berbelanja secara berhati-hati, tapi hakikatnya tidak. Paling ketara membabitkan beberapa kelab terutamanya Real Madrid dan Manchester City.

S: Adakah anda bimbang dengan ancaman Manchester City?
AF: Tahap kebimbangan kami terhadap City sama sahaja dengan pasukan lain. Kami, Chelsea, Liverpool dan Arsenal dilihat sebagai empat pasukan utama sejak lima atau enam tahun lalu. Jika anda buat analisis terhadap City, anda akan dapati mereka berhempas pulas cuba menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik sebelum ini. Tapi, saya fikir memang sukar untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik.

S: Apa yang membezakan antara perbelanjaan besar Chelsea dalam usaha mereka menjuarai liga beberapa tahun lalu dan City kali ini? Adakah kerana Chelsea ketika itu sudahpun berada dalam kelompok pasukan utama?
AF: Saya fikir Chelsea lebih baik dalam aspek ini. Mereka membuat pembelian bijak ketika dibimbing Claudio Ranieri dengan mendapatkan Frank Lampard, Joe Cole, Arjen Robben dan beberapa pemain lain. John Terry dibawa masuk dari sistem belia kelab dan mereka juga membeli Petr Cech yang ketika itu berusia 21 tahun dengan harga amat murah. Kami sebenarnya mahukan Cech, saya sendiri menontonnya bermain sebanyak dua kali dan ketika itu saya fikir, ‘19 tahun, dia terlalu muda’. Tapi dia menjadi pemain kebangsaan negaranya ketika berusia 20 tahun. Apabila melihat kembali prestasinya, saya dapati dia mungkin hanya membuat 10 kesilapan dalam tempoh enam tahun lalu.

S: Kenapa anda berpendapat City tidak akan berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas?
AF: Saya tidak kata mereka tidak mampu menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik. Apa yang saya kata ialah mereka akan berdepan kesukaran menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik dan keadaan itu berkemungkinan berlaku. Contohnya, Aston Villa bermula dengan baik musim lalu tapi gagal mempertahankan kedudukan. Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, bukan mudah untuk mengekalkan prestasi.

S: Apabila anda melihat senarai pemain, anda tidak lagi nampak nama Cristiano Ronaldo. Apa perasaan anda?
AF: Tidak dinafikan pemergiannya satu kehilangan besar. Saya fikir keadaan itu satu cabaran buat kami. Keadaan pastinya tidak sama lagi tanpa Ronaldo. Pada saya, dia pemain terbaik dunia. Dia lebih baik daripada Lionel Messi dan Kaka.

S: Anda jarang kehilangan pemain kecuali jika anda benar-benar mahukan mereka pergi. Dalam kes Ronaldo, apakah kehilangannya menyukarkan anda?
AF: Memang tidak mudah. Saya berbincang dengan Ronaldo mengenai perpindahan itu. Dia sudahpun membuat keputusan untuk berpindah. Tahun lalu, dia merayu kepada saya dan tahun ini kami berbincang semula. Saya fikir kali ini masa yang tepat. Saya beritahunya bahawa saya akan melepaskannya dengan satu syarat iaitu kami mesti mendapat yuran perpindahan paling besar. Katanya: “Saya setuju”.

S: Sejak perpindahannya, pernahkah dia datang berjumpa anda?
AF: Ya, dia bertemu saya dan kami makan malam bersama.

S: Anda fikir dia mungkin kembali ke United jika segalanya tidak menjadi di Real Madrid?
AF: Bukan semata-mata kerana tidak menjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Dia cintakan United, sayang kelab kami. Jika anda lihat kembali sepanjang enam tahun dia bersama kami, dia tidak pernah terlepas latihan. Satu kelebihannya berbanding pemain lain ialah dia tidak pernah cedera. Dia fantastik.

S: Apakah ketiadaan Ronaldo akan membuka pintu lebih luas untuk Wayne Rooney menyinar?AF: Kami pasukan yang berbeza kali ini dan susunan kami juga berlainan. Kami akan lebih padat di bahagian tengah, tapi kami juga mempunyai pemain yang semakin matang seperti Darren Fletcher. Owen Hargreaves akan kembali beraksi manakala persembahan Anderson, Nani dan Rooney bakal meningkat. Saya juga fikir Dimitar Berbatov akan lebih menyinar. Jadi, kami tidaklah berhadapan masalah sangat dengan ketiadaan Ronaldo.

S: Bagaimana perasaan anda mempunyai wang yang banyak untuk dibelanjakan bagi mendapat pemain baru?
AF: Kami cuba membelanjakannya dengan membeli Karim Benzema. Tapi apabila harganya sampai £42 juta (RM235.2 juta), pada saya itu terlebih nilai. Kami menawarkan £35 juta (RM196 juta) dan saya fikir itu adalah harga paling adil buatnya.

S: Apakah anda tidak cuba dapatkan Franck Ribery?
AF: Kami mencubanya sekali dan dalam satu perbincangan Mac lalu, Bayern Munich memberitahu mereka tidak akan melepaskannya.

S: United juara bertahan. Apakah anda akan memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris sebagai pilihan utama?
AF: Saya tidak tahu, tapi saya suka untuk ambil tahu apa pandangan kaki pertaruhan.
United buru 100 gol

Sumber: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

LONDON – Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menetapkan sasaran kepada skuad kendaliannya untuk meledakkan 100 gol supaya dapat mencipta satu lagi kejayaan pada musim depan. Ferguson turut meminta pemain tengah dan pertahanannya mula meningkatkan kualiti mereka bagi mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh Cristiano Ronaldo. Dalam semua kempen musim lepas, juara Liga Perdana England itu telah merekodkan 99 gol dengan 26 gol disumbangkan Ronaldo.
“Jika kami mahu memenangi gelaran liga sekali lagi dan juga gelaran Eropah, pemain kami perlu meningkatkan permainan mereka. “Mereka harus menjaringkan 100 gol dalam semua kempen dan itulah sasaran kami sekali lagi. “Beberapa tahun sebelum ini kami boleh jamin dapat gol menerusi Paul Scholes, Ryan Giggs dan David Beckham. Gol daripada pemain tengah semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, jadi kami perlu atasinya.
“Saya akan cuba tetapkan sasaran kepada Park (Ji-Sung), Nani, (Luis Antonio) Valencia, malah (Danny) Welbeck dan (Federico) Macheda untuk menyumbang 40 gol di antara mereka. “Wayne Rooney berkemampuan menjaringkan 18 gol atau lebih pada satu musim dan Owen pula boleh menyumbang 15 gol kepada kami,” jelas Ferguson. – Agensi