Percaturan Ferguson
SOALAN (S): Musim panas kali ini tampak menarik. Bagaimana anda lihat perkembangan bola sepak dunia setakat ini?
ALEX FERGUSON (AF): Apa yang berlaku sekarang menolak dakwaan awal bahawa bola sepak dunia akan terjejas teruk akibat masalah kewangan global. Kita jangkakan banyak kelab akan mengamalkan pendekatan berbelanja secara berhati-hati, tapi hakikatnya tidak. Paling ketara membabitkan beberapa kelab terutamanya Real Madrid dan Manchester City.
S: Adakah anda bimbang dengan ancaman Manchester City?
AF: Tahap kebimbangan kami terhadap City sama sahaja dengan pasukan lain. Kami, Chelsea, Liverpool dan Arsenal dilihat sebagai empat pasukan utama sejak lima atau enam tahun lalu. Jika anda buat analisis terhadap City, anda akan dapati mereka berhempas pulas cuba menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik sebelum ini. Tapi, saya fikir memang sukar untuk mereka menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik.
S: Apa yang membezakan antara perbelanjaan besar Chelsea dalam usaha mereka menjuarai liga beberapa tahun lalu dan City kali ini? Adakah kerana Chelsea ketika itu sudahpun berada dalam kelompok pasukan utama?
AF: Saya fikir Chelsea lebih baik dalam aspek ini. Mereka membuat pembelian bijak ketika dibimbing Claudio Ranieri dengan mendapatkan Frank Lampard, Joe Cole, Arjen Robben dan beberapa pemain lain. John Terry dibawa masuk dari sistem belia kelab dan mereka juga membeli Petr Cech yang ketika itu berusia 21 tahun dengan harga amat murah. Kami sebenarnya mahukan Cech, saya sendiri menontonnya bermain sebanyak dua kali dan ketika itu saya fikir, ‘19 tahun, dia terlalu muda’. Tapi dia menjadi pemain kebangsaan negaranya ketika berusia 20 tahun. Apabila melihat kembali prestasinya, saya dapati dia mungkin hanya membuat 10 kesilapan dalam tempoh enam tahun lalu.
S: Kenapa anda berpendapat City tidak akan berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas?
AF: Saya tidak kata mereka tidak mampu menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik. Apa yang saya kata ialah mereka akan berdepan kesukaran menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik dan keadaan itu berkemungkinan berlaku. Contohnya, Aston Villa bermula dengan baik musim lalu tapi gagal mempertahankan kedudukan. Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, bukan mudah untuk mengekalkan prestasi.
S: Apabila anda melihat senarai pemain, anda tidak lagi nampak nama Cristiano Ronaldo. Apa perasaan anda?
AF: Tidak dinafikan pemergiannya satu kehilangan besar. Saya fikir keadaan itu satu cabaran buat kami. Keadaan pastinya tidak sama lagi tanpa Ronaldo. Pada saya, dia pemain terbaik dunia. Dia lebih baik daripada Lionel Messi dan Kaka.
S: Anda jarang kehilangan pemain kecuali jika anda benar-benar mahukan mereka pergi. Dalam kes Ronaldo, apakah kehilangannya menyukarkan anda?
AF: Memang tidak mudah. Saya berbincang dengan Ronaldo mengenai perpindahan itu. Dia sudahpun membuat keputusan untuk berpindah. Tahun lalu, dia merayu kepada saya dan tahun ini kami berbincang semula. Saya fikir kali ini masa yang tepat. Saya beritahunya bahawa saya akan melepaskannya dengan satu syarat iaitu kami mesti mendapat yuran perpindahan paling besar. Katanya: “Saya setuju”.
S: Sejak perpindahannya, pernahkah dia datang berjumpa anda?
AF: Ya, dia bertemu saya dan kami makan malam bersama.
S: Anda fikir dia mungkin kembali ke United jika segalanya tidak menjadi di Real Madrid?
AF: Bukan semata-mata kerana tidak menjadi, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Dia cintakan United, sayang kelab kami. Jika anda lihat kembali sepanjang enam tahun dia bersama kami, dia tidak pernah terlepas latihan. Satu kelebihannya berbanding pemain lain ialah dia tidak pernah cedera. Dia fantastik.
S: Apakah ketiadaan Ronaldo akan membuka pintu lebih luas untuk Wayne Rooney menyinar?AF: Kami pasukan yang berbeza kali ini dan susunan kami juga berlainan. Kami akan lebih padat di bahagian tengah, tapi kami juga mempunyai pemain yang semakin matang seperti Darren Fletcher. Owen Hargreaves akan kembali beraksi manakala persembahan Anderson, Nani dan Rooney bakal meningkat. Saya juga fikir Dimitar Berbatov akan lebih menyinar. Jadi, kami tidaklah berhadapan masalah sangat dengan ketiadaan Ronaldo.
S: Bagaimana perasaan anda mempunyai wang yang banyak untuk dibelanjakan bagi mendapat pemain baru?
AF: Kami cuba membelanjakannya dengan membeli Karim Benzema. Tapi apabila harganya sampai £42 juta (RM235.2 juta), pada saya itu terlebih nilai. Kami menawarkan £35 juta (RM196 juta) dan saya fikir itu adalah harga paling adil buatnya.
S: Apakah anda tidak cuba dapatkan Franck Ribery?
AF: Kami mencubanya sekali dan dalam satu perbincangan Mac lalu, Bayern Munich memberitahu mereka tidak akan melepaskannya.
S: United juara bertahan. Apakah anda akan memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris sebagai pilihan utama?
AF: Saya tidak tahu, tapi saya suka untuk ambil tahu apa pandangan kaki pertaruhan.